KONSEP KEPERIBADIAN DAN KESANTUNAN WANITA MELAYU MENURUT PERSPEKTIF IBU ZAIN
Keywords:
Ibu Zain, Keperibadian, Kesantunan, Budi Pekerti, Wanita MelayuAbstract
Wanita dianalogikan sebagai permata berharga bagi sebuah keluarga, bangsa, negara dan peradabannya. Ia berasaskan peranan mereka sebagai tonggak dalam melahirkan generasi keturunan yang baik, bermanfaat serta berguna pada masa kini juga masa hadapan. Namun permasalahannya, wanita kini kian terhakis nilai keperibadian dan kehormatan diri akibat arus globalisasi kemodenan dan transformasi pendigitalan tanpa sempadan. Justeru, kajian ini dikemukakan untuk menilai gagasan tokoh iaitu Ibu Zain tentang konsep keperibadian dan kesantunan wanita Melayu. Konsep keperibadian dan kesantunan sebagai intipati kajian kerana dua elemen tersebut merupakan entiti yang melambangkan ontologis kewujudannya sebagai seorang wanita. Bertunjangkan dua objektif, pertama ialah meneliti nilai keperibadian sebagai simbolik wanita Melayu, dan keduanya untuk menganalisis nilai kesantunan yang menjadi pemilikan wanita Melayu. Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan pendekatan metode interpretasi. Kaedah pengumpulan data menggunakan kajian kepustakaan sepenuhnya dengan merujuk dokumen berkaitan yang ditulis oleh tokoh, serta artikel berkaitan sarjana tentang tokoh. Kaedah analisis data mengimplemenkan kaedah analisis tekstual deskriptif berkaitan konsep keperibadian dan kesantunan. Dapatan kajian ini memperolehi bahawa wanita Melayu simbolisme kekuatan bangsa yang memiliki keunikan tersendiri berasaskan tingkah laku sopan, semangat kerja tinggi, perjuangan suci murni dalam membangunkan anak bangsa, selain berusaha membebaskan diri daripada cengkaman penjajah zalim mahupun telunjuk kaum lelaki dayus. Impak kajian ini secara asasnya ialah kepada pembangunan dan pemerkasaan wanita Melayu Malaysia secara holistik. Ini kerana gagasan Ibu Zain dinilai signifikan pada zamannya, kristalistik pada masa kini, serta futuristik pada masa hadapan bertunjangkan semangatnya untuk terus mempertahankan identiti wanita Melayu bermaruah dan berkebudimanan zaman berzaman.