UNSUR SERAPAN KATA BAHASA MELAYU STANDARD DALAM BAHASA IBAN DAN DIALEK MELAYU SARAWAK
Keywords:
Serapan Bahasa, Integrasi Bahasa, Bahasa Penerima, Dialek Melayu SarawakAbstract
Corak serapan yang berlaku dalam Bahasa Iban (BI) dan Dialek Sarawak (DMS), diambil masuk dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaan, jika perlu, supaya sesuai dengan bunyi dan sebutan bahasa ibunda. Sebahagian besar kata asal dalam BI dan DMS diambil masuk melalui kaedah serapan. Oleh yang demikian, proses integrasi kata Bahasa Melayu Standard ke dalam BI dan DMS melibatkan banyak perubahan kerana melibatkan unsur serapan. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor unsur serapan kata Bahasa Melayu Standard yang memacu proses integrasi bahasa sumber ke dalam bahasa penerima. Kajian ini mengaplikasikan kerangka teori kontak bahasa (language contact) yang diperkenalkan oleh Weinreich pada tahun 1953. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif sepenuhnya dengan menggunakan instrumen soal selidik ke atas guru pelatih berbangsa Melayu dan Iban di Sarawak. Data menunjukkan bahawa 100% (234 orang) responden bersetuju bahawa bahasa yang bertindak sebagai simbol kepunyaan akan menimbulkan minat yang kuat dalam kalangan pendatang untuk menggunakan bahasa standard. Situasi ini terhasil daripada serapan bahasa sehingga menyebabkan integrasi bahasa. Dapatan ini membuktikan bahawa unsur serapan yang sudah disenaraikan dalam kamus bahasa penerima, bermakna unsur itu sudah berintegrasi. Kesimpulannya, penyesuaian unsur bahasa yang diserap masuk ke dalam BI dan DMS sebagai bahasa penerima sebenarnya telah melalui proses integrasi pada jangka masa yang lama. Impaknya, proses ini menyebabkan berlakunya penambahan kosa kata iaitu kata daripada serapan yang dimasukkan ke dalam kamus bahasa penerima sebagai kata ‘asli.