SEMANTIK BANDINGAN: PENGENALAN KEPADA TEORI PENGADUNAN KONSEPTUAL
Keywords:
Semantik Kognitif, Metafora, Ruang Input, Ruang Mental, Ruang PengadunanAbstract
Teori Pengadunan Konseptual (seterusnya ialah TPK) atau Conceptual Blending Theory gagasan Fauconnier dan Turner (2002) bertujuan menyediakan sebuah model kognitif umum berkaitan konstruksi makna. Wawasan Fauconnier dan Turner (2002) dalam teori ini berakar daripada persoalan pokok yang dibangkitkan oleh linguis-linguis kontemporari tentang bagaimana satu-satu konsep baharu terbentuk berdasarkan sistem kognisi manusia. Kata Fauconnier, teori ini merangkumi semua domain penciptaan makna, sama ada yang melibatkan bahasa (metafora, iklan dan sindiran) atau penggunaan gerak isyarat untuk menyampaikan makna bukan linguistik, seperti cara orang beratur untuk mendapatkan tiket di pawagam atau simbolik tertentu dalam komunikasi. Jika dilihat pada senario semasa dalam penyelidikan linguistik masa kini, teori ini telah menarik perhatian yang luas dalam pelbagai bidang penyelidikan, dari kajian analisis wacana oleh Oakley (2008), kajian Haiku oleh Hiraga (1999) hinggalah ke kajian ritual oleh Sweetser (2000). Oleh sebab sifatnya yang sedemikian holistik, maka tidak hairanlah jika teori ini dikritik hebat oleh beberapa linguis dari aliran struktural (rujuk kajian oleh Broccias, 2004; Gibbs, 2000), malah tidak kurang juga terdapat beberapa sarjana aliran Vygotskyan (dinisbahkan kepada kelompok linguis yang cenderung kepada pemikiran ahli psikologis Rusia, iaitu Vygotsky) yang meragui akan keupayaan teori ini. Oleh itu, makalah ini ditulis bagi (i) memberikan gambaran keseluruhan mengenai teori yang diusulkan; (ii) memaparkan beberapa bentuk pengadunan konseptual yang bersifat bukan linguistik; dan sekali gus (iii) menolak dakwaan umum terhadap TPK ini.