CABARAN DAN KESAN PEMBELAJARAN DALAM TALIAN TERHADAP KEMAHIRAN LITERASI MEMBACA DAN MENULIS BAHASA MELAYU BAGI MURID SEKOLAH RENDAH
Keywords:
Cabaran, Kesan, Pembelajaran Dalam Talian, Kemahiran Membaca, Kemahiran MenulisAbstract
Pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian merupakan sebuah perubahan norma baharu dalam sistem pendidikan. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti cabaran dan kesan pembelajaran secara dalam talian terhadap kemahiran literasi membaca dan menulis murid sekolah rendah. Pendekatan kajian yang digunakan adalah kajian kuantitatif. Sampel kajian terdiri daripada 109 orang murid Tahap 2 yang dipilih secara rawak di daerah Pekan dan Muadzam Shah, Pahang. Instrumen kajian adalah soal selidik. Data soal selidik dianalisis melalui perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 25. Dapatan kajian menunjukkan cabaran pembelajaran dalam talian dan kesan pembelajaran dalam talian terhadap kemahiran membaca berada pada tahap sederhana dengan min=3.07 dan min=2.46. Kesan pembelajaran dalam talian terhadap kemahiran menulis pula berada pada tahap rendah dengan min=2.21. Analisis inferensi ujian-T menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara kesan pembelajaran dalam talian mengikut jantina terhadap kemahiran membaca dan menulis. Analisis korelasi menunjukkan hubungan yang signifikan antara kadar capaian internet dengan kesan pembelajaran dalam talian terhadap kemahiran membaca dan menulis. Dapatan ini menunjukkan bahawa kadar capaian internet yang stabil mempengaruhi kesan peningkatan kemahiran membaca dan menulis murid secara dalam talian. Justeru, kajian mendapati kemahiran membaca dan menulis murid Tahap 2 berada pada tahap sederhana memuaskan walaupun pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian. Oleh itu, hasil kajian ini dapat membantu mengatasi masalah menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam kalangan murid sekolah rendah terutamanya sepanjang pembelajaran dalam talian.