PEMBENTUKAN NILAI MURNI SEBAGAI SARANA MESEJ BERDASARKAN KARAKTER NAMA DALAM KATA PANGGILAN ADAT MASYARAKAT KELABIT

Authors

  • Mohammad Syawal Narawi Universiti Utara Malaysia
  • Nor Hasimah Ismail Universiti Utara Malaysia
  • Nuraini Yusoff Universiti Utara Malaysia
  • Lee Jun Choi Universiti Malaysia Sarawak

Keywords:

Pembentukan Nilai Murni, Kata Panggilan Adat, Karakter, Irau Mekaa’ Ngadan, Etnik Kelabit

Abstract

Kajian ini membincangkan tentang pembentukan nilai murni sebagai sarana mesej berdasarkan karakter nama dalam kata panggilan adat masyarakat Kelabit. Kajian ini dijalankan di Bintulu, Sarawak. Tujuh etnik Kelabit yang berasal dari Tanah Tinggi Bario dan berumur antara 50 dan 70 tahun dijadikan sebagai informan. Sumber data utama diperoleh melalui temu bual, pemerhatian, fotografi dan analisis dokumen. Arus perubahan globalisasi yang bergerak pantas antara penyebab generasi baharu masyarakat kelabit kurang memberi perhatian terhadap khazanah nenek moyang mereka khususnya berkaitan karakter nama dan seterusnya dijadikan sebagai mesej dalam kehidupan seharian mereka. Disebabkan senario semasa dan permasalahan ini, maka kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti pembentukan nilai murni sebagai sarana mesej berdasarkan karakter nama dalam kata panggilan adat masyarakat Kelabit. Karakter nama yang dirujuk dalam kajian ini khusus kepada pemilihan kombinasi kosa kata nama Aran Raja, Paran Raja, Aran Pelaba dan Maran Bala dalam kata panggilan adat masyarakat Kelabit. Kombinasi kosa kata nama berkenaan merupakan kombinasi daripada kosa kata nama dalam kategori Unsur Nama Kelas Pertama dalam upacara penukaran nama atau Irau Mekaa’ Ngadan. Kajian karakter nama kosa kata ini bertunjangkan teori yang dikemukakan oleh Lickona (1992 ) manakala huraian berkaitan pembentukan nilai murni berteraskan Prinsip Nilai-Nilai Murni seperti yang digariskan oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (2013). Kajian ini mendapati bahawa setiap individu yang dikurniakan gelaran kombinasi berkenaan mampu membentuk karakter keperibadian yang mulia dan menjadi lambang karakter identiti masyarakat etnik Kelabit. Selain itu, gelaran berkenaan juga dapat membentuk identiti individu dalam mengerjakan nilai-nilai kebajikan untuk dirinya dan untuk masyarakat etnik Kelabit. Pembentukan nilai murni berdasarkan karakter nama berkenaan adalah seperti berikut iaitu, menonjolkan karakter bertanggung jawab, menunjukkan karakter yang dihormati, mempamerkan ketulusan hati / kejujuran (honesty) dan melambangkan keadilan dan kepemimpinan.

Downloads

Download data is not yet available.

Downloads

Published

2024-07-17

How to Cite

Mohammad Syawal Narawi, Nor Hasimah Ismail, Nuraini Yusoff, & Lee Jun Choi. (2024). PEMBENTUKAN NILAI MURNI SEBAGAI SARANA MESEJ BERDASARKAN KARAKTER NAMA DALAM KATA PANGGILAN ADAT MASYARAKAT KELABIT. INTERNATIONAL JOURNAL OF HUMANITIES, PHILOSOPHY AND LANGUAGES (IJHPL), 5(17). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijhpl/article/view/555