MINAT PELAJAR TERHADAP PEMBELAJARAN BAHASA ARAB DALAM TALIAN: SATU KAJIAN DESKRIPTIF
Keywords:
Minat Pelajar, Pembelajaran bahasa Arab, Kajian DeskriptifAbstract
Bahasa Arab (BA) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mula ditawarkan sejak penubuhannya pada bulan Ogos 2002 melalui Bahagian Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampus (SDCL). Sehingga kini, terdapat lima kampus UniKL menawarkan subjek BA sebagai bahasa ketiga iaitu subjek bahasa pilihan yang boleh diambil oleh pelajar di peringkat Diploma dan Sarjana Muda. Kajian ini cuba menumpukan proses pembelajaran BA di UniKL kampus Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) terhadap minat pelajar melalui pembelajaran secara dalam talian ketika sesi pengajian berlangsung dalam suasana pandamik Covid-19 sejak Mac 2020 yang lalu. Seramai 98 responden dipilih dalam kalangan pelajar subjek Bahasa Arab 1 (BA1) semester Julai 2021 dari pelbagai latar belakang seperti jantina, semester dan program bagi menjawab beberapa soalan terpilih berhubung minat mereka terhadap subjek BA sepanjang proses pembelajaran berlaku secara dalam talian. Kajian ini mengguna pakai metodologi kajian deskriptif kuantitatif, iaitu salah satu kaedah saintifik yang menjawab persoalan apa, siapa, bila dan di mana. Semua butiran responden dikumpul dan dimasukkan dalam jadual secara sistematik mengikut susunan latar belakang. Berdasarkan dapatan kajian, minat pelajar terhadap pembelajaran BA secara dalam talian semakin berkurang berikutan keterbatasan beberapa perkara yang menjadi faktor dominan yang mendorong minat pelajar dalam pembelajaran sesuatu subjek bahasa ketiga seperti BA. Walaubagaimanapun, minat yang semakin berkurang dalam kalangan para pelajar hari ini berikutan suasana pembelajaran yang berbeza wajar dilihat sebagai perkara serius dalam kalangan guru khususnya pensyarah di universiti bagi membantu dan membina semula minat mereka agar proses pembelajaran BA menjadi lebih menarik.