PENTERJEMAHAN EUFEMISME AL-QURAN KE BAHASA MELAYU: ANALISIS PENDEKATAN SEMANTIK NEWMARK
Keywords:
Eufemisme al-Quran, Penterjemahan al-Quran, Pendekatan semantik Newmark, Kualiti PenterjemahanAbstract
Eufemisme digunakan merentasi bahasa dan berkait dengan nilai sosiobudaya dan sosioagama. Dalam konteks terjemahan, eufemisme al-Quran mengandungi makna implisit dan mencetuskan permasalahan disebabkan elemen linguistik dan budaya. Oleh itu, pengaplikasian pendekatan yang sesuai dilihat signifikan bagi menghasikan kualiti dan ketepatan dalam karya terjemahan. Kajian kualitatif ini dilakukan untuk menganalisis penterjemahan eufemisme al-Quran ke bahasa Melayu bertunjangkan pengaplikasian pendekatan Semantik dan Komunikatif oleh Newmark (1981). Di samping itu, pengkaji memanfaatkan Corpus of Euphemisms in the Qur’an oleh Olimat (2019) untuk tujuan pengumpulan data dan semakan terhadap struktur eufemisme dalam al-Quran. Aspek pengukuran ketepatan pula dibuat dengan membanding dan merujuk pentafsiran kitab tafsir muktabar. Dapatan kajian menunjukkan pendekatan semantik menghasilkan dua impak iaitu, penterjemahan bermutu dan kurang bermutu. Keberhasilan penterjemahan terarah kepada dua aspek, iaitu makna sebenar disampaikan dan gaya eufemistis dikekalkan. Sebaliknya, ketidaksempurnaan penterjemahan adalah disebabkan ketidaksesuaian pengaplikasian pendekatan terjemahan. Pendekatan semantik secara umumnya menyebabkan kehilangan maksud sebenar dan berpotensi mengelirukan pembaca sasaran. Namun begitu, pendekatan ini boleh diaplikasi sekiranya terdapat persamaan budaya dan linguistik dalam kedua-dua bahasa. Selain itu, pemilihan padanan perkataan merupakan antara faktor yang mempengaruhi kesesuaian gaya selaras dengan konsep eufemisme.