PENGLIBATAN PELAJAR POLITEKNIK (PNS, PSAS & PUO) DALAM AKTIVITI KESUKARELAWANAN, SUATU KAJIAN RINTIS
Keywords:
Kesukarelawanan, Ciri Kesukarelawanan, Faktor Penglibatan, Kesan, PoliteknikAbstract
Pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi perlu dipupuk dan dilibatkan dalam aktiviti kesukarelawanan selari dengan keperluan melahirkan modal insan yang holistik. Kajian tinjauan kuantitatif ini bertujuan melihat bidang yang diceburi oleh pelajar dalam aktiviti kesukarelawanan, ciri-ciri kesukarelawanan pelajar, faktor dan kesan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan. Kajian dijalankan dalam kalangan 961 orang pelajar secara dalam talian. Data dianalisis secara deskriptif dan inferensi. Hasil kajian mendapati pelajar paling banyak terlibat dalam aktiviti dalam bidang keagamaan, pelajar mempunyai ciri-ciri kesukarelawan yang sangat baik, faktor utama pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan adalah kerana ingin meningkatkan kemahiran diri (SM=4.44; SP=0.60), kesan pelajar melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan berada pada tahap sangat tinggi dengan skor min keseluruhan adalah 4.32 (SP=0.55), terdapat perbezaan yang signifikan kesan melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawanan berdasarkan gender dimana skor pelajar lelaki (SM=4.26, SP=0.59) berbanding pelajar perempuan (SM=4.39, SP=0.51) dengan nilai t=-3.617, P=0.000, pelajar menunjukkan persetujuan yang tinggi dalam saranan dan cadangan yang diberikan dan mengemukakan banyak cadangan dan pandangan berkaitan aspek yang dikaji. Kajian mendapati pelajar mempunyai kesediaan dalam melaksanakan aktiviti kesukarelawan dan mempunyai kecenderungannya dalam aktiviti kesukarelawanan. Kajian berkala dan melibatkan pelbagai konstruk perlu dilakukan bagi melihat lebih terperinci aspek kesukarelawanan dalam kalangan pelajar.