AMALAN PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU SEKOLAH KEBANGSAAN DALAM ASPEK NILAI
Abstract
Konsep profesionalisme sangat berkaitan dengan tugas seseorang dalam pekerjaan. Profesionalisme guru menuntut suatu nilai yang murni agar guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh komitmen dan berdedikasi. Ini kerana kualiti pendidikan mempunyai hubungkait dengan nilai profesionalisme guru yang akan menentukan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Standard Guru Malaysia (2009) telah meletakkan nilai profesionalisme sebagai standard yang utama. Justeru itu, kajian ini bertujuan untuk meninjau amalan profesionalisme guru Bahasa Melayu Sekolah kebangsaan di daerah Klang Selangor dalam aspek nilai. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap amalan profesionalisme guru Bahasa Melayu dalam aspek nilai dan mengenal pasti tahap penilaian kendiri terhadap amalan profesionalisme guru Bahasa Melayu. Kajian kuantitatif digunakan dalam kajian ini dengan melibatkan seramai 219 orang guru. Borang soal selidik dengan ukuran lima skala likert telah digunakan bagi tujuan pengumpulan data. Item-item yang digunakan adalah berpandukan Standard 1:Nilai Profesionalisme dalam Standard Guru Malaysia. Statistik deskriptif pula digunakan untuk mengetahui min, sisihan piawai, kekerapan dan peratusan bagi mendapatkan dapatan yang tepat dalam proses penganalisisan item-item kajian. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan Software Package for Social Science (SPSS) version 25. Hasil analisis menunjukkan amalan profesionalisme guru Bahasa Melayu dalam aspek nilai berada pada tahap tinggi iaitu 4.46. Dapatan ini menjelaskan guru-guru mengetahui dan melaksanakan amalan nilai profesionalisme dengan baik namun amalan nilai seseorang guru perlu sentiasa dipertingkatkan kerana guru adalah agen penggerak transformasi dalam sistem pendidikan. Tahap penilaian kendiri terhadap amalan profesionalisme guru Bahasa Melayu pula mencatatkan min 3.68 pada tahap interpretasi yang tinggi. Bahagian penilaian kendiri mendapati terdapat beberapa perkara yang perlu diberi penekanan dalam kajian akan datang kerana maklumbalas daripada sampel kajian ini memberi gambaran bahawa terdapat beberapa kekurangan, wujud dalam tahap amalan profesionalisme. Keadaan ini memberi kesan kepada kualiti profesional sebagai guru Bahasa Melayu. Kesimpulannya, ,kesungguhan guru dalam menyempurnakan tanggungjawab terhadap pelajar, sekolah dan masyarakat mengkehendaki suatu nilai yang kukuh bagi melahirkan guru yang professional.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
24-09-2024
How to Cite
Zainah Asmawi, & Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad. (2024). AMALAN PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU SEKOLAH KEBANGSAAN DALAM ASPEK NILAI. INTERNATIONAL JOURNAL OF MODERN EDUCATION (IJMOE), 3(8). Retrieved from https://gaexcellence.com/ijmoe/article/view/1755
Issue
Section
Articles