KEMAHIRAN INFORMAL KOMUNITI ORANG ASLI SUKU KAUM JAKUN DALAM BIDANG PELANCONGAN
Keywords:
Kemahiran Informal, Orang Asli, PelanconganAbstract
Pelancongan merupakan salah satu bidang yang boleh dijadikan strategi dalam menjana pendapatan komuniti setempat. Melalui pelancongan, komuniti mampu meraih pendapatan melalui kemahiran informal yang mereka miliki. Komuniti Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Peta yang terletak berhampiran dengan Taman Negara Endau-Rompin merupakan salah satu suku kaum asli yang menggunakan kemahiran informal mereka dalam menghasilkan pendapatan melalui bidang pelancongan. Melalui kajian kes yang dilaksanakan, seramai 5 orang peserta kajian dari komuniti Orang Asli ini telah ditemubual dan di sokong dengan temubual bersama 2 orang kakitangan dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Mersing. Hasil dari temu bual kajian menunjukkan bahawa kemahiran seperti pemandu bot, pemandu pelancong, penghasilan kraf tangan, aktiviti kebudayaan dan penghasilan makanan mampu menjadi tarikan pelancong yang menyumbang sumber pendapatan kepada komuniti ini. Oleh kerana mereka tinggal berdekatan dengan Taman Negara, ia turut menjadi suatu kelebihan kepada mereka kerana berjaya menarik kedatangan pelancong ke penempatan mereka. Justeru, melalui aktiviti pelancongan secara tidak langsung membantu komuniti ini menjana pendapatan hasil dari kemahiran informal mereka yang diterjemahkan dalam bentuk barangan dan juga perkhidmatan. Kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada komuniti Orang Asli yang lain dalam menggunakan kemahiran mereka sebagai satu kelebihan dalam menghasilkan pendapatan.