PERANAN SEKTOR AWAM DALAM PEMBANGUNAN PELANCONGAN: KAJIAN DI PULAU PELANCONGAN DI MALAYSIA
Keywords:
Peranan Sektor Awam, Pembangunan Pelancongan, Pantai ChenangAbstract
Sektor awam merupakan agensi kerajaan yang berperanan merancang dan membangunkan pembangunan di sesebuah kawasan. Peranan sektor awam perlu selari dengan misi dan visi organisasi. Peranan sektor awam yang kurang jelas dalam pembangunan menyebabkan pelbagai isu timbul seperti perancangan pembangunan yang kurang sistematik, sistem penyampaian maklumat yang kurang efisien, pertindihan tanggungjawab antara sektor awam dan pengagihan bantuan kewangan yang kurang cekap kepada masyarakat setempat. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi melihat peranan sektor awam dalam pembangunan pelancongan di Pantai Chenang. Kajian kualitatif dijalankan dalam kalangan masyarakat setempat dan pegawai sektor awam. Sejumlah tujuh orang informan terlibat dalam kajian ini. Dapatan kajian mendapati bahawa perancangan pembangunan yang dilakukan oleh sektor awam kurang melibatkan masyarakat secara bersama. Di samping itu, maklumat berkaitan pembangunan di Pantai Chenang tidak sampai kepada masyarakat setempat. Bantuan kewangan dan inisiatif kerajaan yang diberikan hanya memberi manfaat kepada golongan tertentu sahaja. Peranan sektor awam yang bertindih antara agensi turut menyukarkan masyarakat dalam memberikan pendapat dan idea berkaitan pembangunan. Oleh itu, sektor awam perlu menambahbaik perancangan pembangunan, sistem penyampaian, peranan agensi-agensi berkaitan dan pengagihan bantuan kewangan kepada masyarakat. Hubungan yang baik antara sektor awam dan masyarakat perlu ditingkatkan supaya perancangan pembangunan di Pantai Chenang berjalan dengan lancar. Peranan sektor awam penting dalam pembangunan pelancongan di Pantai Chenang yang dilihat sebagai peneraju dalam mencapai Premier Beach Resort Destination in Asia Pacific.