KAJIAN TERHADAP KUALITI UDARA DI BEBERAPA KAWASAN LUAR BANDAR TERPILIH DI NEGERI JOHOR
Keywords:
Kawasan Luar Bandar, Pencemaran Udara, Indeks Pencemaran Udara (IPU)Abstract
Pembangunan pesat yang turut melimpah ke kawasan luar bandar telah menyebabkan kawasan luar bandar di Negeri Johor tidak terkecuali menunjukkan kemerosotan kualiti udara akibat daripada pembangunan. Kawasan kajian ialah di Kampung Paya Pulai, Segamat; Parit Raja, Batu Pahat; Kampung Sri Bahagia, Mersing dan Kampung Pok dan Johor Bahru. Persampelan kualiti udara bagi kajian ini adalah bagi gas pencemar SO2, NO2, CO, O3 dan PM10 yang memerlukan persampelan selama satu jam. Gas-gas seperti SO2, NO2 dan CO2 dilihat nilai kepekatan kandungan gas dalam udara menerusi alat persampelan kualiti udara YESAIR Model #6000. Manakala persampelan O3 menerusi alat Ozone Detector. Kedua-dua alat ini adalah mudah alih dan nilai bacaan terus diperolehi selepas cerapan dilakukan di lokasi persampelan kawasan kajian. Manakala PM10 pula, sampel udara dikumpul menggunakan alat persampel udara E-Sampler Model G2142. Data yang direkodkan akan dipindahkan ke komputer menggunakan aplikasi Terminal Utility Software (TUS) untuk dianalisis. Pencerapan udara telah dijalankan sebanyak tiga kali sehari iaitu pada waktu pagi, tengahari dan malam. Persampelan kualiti udara dilakukan pada dua hari yang berbeza iaitu hari bekerja di Johor (Isnin-Jumaat) dan tidak bekerja (Sabtu & Ahad). Manakala bagi gas pencemar PM10 ditentukan dalam tempoh masa 24 jam. Penentuan kualiti udara dirujuk/berpandukan kepada Piawaian Kualiti udara Persekitaran Malaysia, yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam sekitar (JAS). Hasil kajian menunjukkan berlaku pencemaran di semua kawasan luar bandar di Negeri Johor. Gas SO2, dan NO2 menunjukkan bacaan tertinggi adalah di Parit Raja dengan masing-masing bacaan SO2 pagi 0.011, tengahari 0.024 dan malam 0.008 ppm, manakala NO2 pada bacaan pagi 0.009, tengahari 0.011 dan malam 0.005 ppm. Gas utama yang menyumbang kepada pencemaran udara adalah PM10, CO dan O3 di semua kawasan kajian. IPU secara puratanya kurang dari bacaan 50 masih lagi dikategorikan sebagai ‘sihat’. Hanya satu stesen yang mencatatkan nilai ‘sederhana’ iaitu di Kampung Paya Pulai, Segamat yang disumbangkan oleh kepekatan PM10. Diharapkan kajian ini akan menjadi panduan kepada masyarakat dan pihak yang berkepentingan dalam membangunkan kawasan luar bandar dan perlunya mengekalkan kualiti udara di kawasan luar bandar.