KAWASAN PERLINDUNGAN MARIN DI MALAYSIA: KE ARAH PENERAPAN KONSEP PEMBANGUNAN MAMPAN
Keywords:
Pembangunan Mampan, Kawasan Perlindungan Marin, Pihak Berkepentingan, Pakatan StrategikAbstract
Pada era globalisasi ini, pembangunan mampan atau lestari membawa maksud berlainan kepada mereka yang mempunyai kepentingan yang berbeza-beza. Prinsip ini bukan sahaja terhad kepada pemeliharaan alam sekitar dan sumber-sumbernya, malahan merangkumi pengurusan sumber manusia dan kewangan serta pembangunan fizikal. Kesedaran tentang pembangunan mampan bermula sejak tahun 1987 yang dipelopori oleh Laporan Brundtland (UNWCED), kemudian mendapat pengiktirafan daripada Rio de Jeneiro Summit pada tahun 1992. Seterusnya Persidangan Dunia mengenai pembangunan mampan di Johannesburg, Afrika Selatan pada tahun 2002 turut mengukuhkan lagi agenda konsep ini dengan membawa perhatian dunia terhadap cabaran dan kepentingan pembangunan mampan. Di Malaysia, tidak semua aktiviti di Kawasan Perlindungan Marin (MPA) dijalankan selari dengan konsep pembangunan mampan, walaupun pelbagai usaha dan polisi telah diperkenalkan untuk mengekalkan persekitaran semulajadi dan ekosistem supaya dapat dinikmati oleh generasi akan datang. Artikel ini menekankan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak berkepentingan dalam usaha untuk memperkenalkan falsafah pembangunan mampan dalam sektor pengurusan Kawasan Perlindungan Marin. Cadangan inisiatif yang disyorkan dalam artikel itu memberikan tumpuan strategik untuk mengekalkan keharmonian antara pihak yang terlibat dalam pengurusan Taman Laut dan mereka yang terlibat dalam industri pelancongan maritim. Ia juga mengambil kira rangka kerja perundangan dan kepentingan ekonomi pihak berkepentingan dalam sektor ini untuk memberi tumpuan antara mengeksploitasi kekayaan sumber Taman Laut negara dan melindungi integriti persekitaran Taman Laut selaras dengan konsep pembangunan mampan.