KOMPOSISI LEMBAGA PENGARAH DAN SUMBANGAN KORPORAT BERKAITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019: SUATU ULASAN
Keywords:
Lembaga Pengarah, Sumbangan Korporat, Tanggungjawab Sosial Korporat COVID-19, KelestarianAbstract
Penularan COVID-19 telah memberi kesan yang tidak dijangka kepada negara. Tidak terhad kepada aspek kesihatan, pandemik ini turut memberi kesan ke atas isu sosial, pendidikan dan ekonomi yang memerlukan perhatian oleh pihak kerajaan serta warga korporat. Sebagai kumpulan individu yang memacu hala tuju sesebuah syarikat, lembaga pengarah syarikat turut berperanan penting dalam menentukan polisi filantropi syarikat khususnya dalam suasana pandemik COVID-19 yang amat mencabar. Menerusi sorotan literatur terutamanya yang relevan dengan tadbir urus dan filantropi korporat, artikel ini membincangkan bagaimana kepelbagaian komposisi ahli lembaga pengarah mampu mempengaruhi keputusan berkenaan penentuan sumbangan korporat berkaitan COVID-19. Penentuan jenis dan jumlah sumbangan kepada penerima yang relevan adalah penting khususnya bagi kumpulan pemegang taruh yang benar-benar memerlukan. Justeru, latar belakang ahli lembaga pengarah yang relevan dan pelbagai, mampu membawa kelainan perspektif dan sudut pandang yang lebih meluas serta tidak ketinggalan, memahami permasalahan yang dihadapi dan keperluan pihak pemegang taruh yang berbeza. Kepelbagaian dari sudut pendidikan, pengalaman, jantina dan pengaruh komuniti diyakini membawa kepada sumbangan yang berbeza dalam mendepani permasalahan yang dibawa oleh COVID-19. Perbincangan dalam artikel ini menyumbang kepada pengayaan literatur berkaitan filantropi korporat. Ianya turut memberi pihak industri sudut pandang dari aspek komposisi lembaga pengarah syarikat.