KESAN FAKTOR PENYEDERHANA PAKAR INDUSTRI TERHADAP HUBUNGAN ANTARA CIRI-CIRI KOPERASI DAN KUALITI PELAPORAN KEWANGAN TAHUNAN KOPERASI
Keywords:
Kualiti Pelaporan Kewangan, Faktor Penyederhana, Koperasi, MalaysiaAbstract
Fokus utama Dasar Koperasi Negara 2011-2020 adalah untuk memastikan koperasi di Malaysia mematuhi perundangan koperasi. Kajian ini bertujuan untuk menguji hubungan antara ciri-ciri koperasi dengan kualiti pelaporan kewangan tahunan koperasi. Pembolehubah bebas ciri-ciri koperasi yang diuji ialah saiz dan jenis perniagaan. Data kajian yang dipilih adalah laporan tahunan koperasi dan sebanyak seratus dua puluh laporan tahunan bagi tahun 2010 dan 2014 telah digunakan. Data dianalisis menggunakan analisa regresi multivariat dan regresi multivariat hierarki. Keputusan menunjukkan saiz dan jenis perniagaan mempunyai hubungan yang signifikan dengan kualiti pelaporan kewangan tahunan koperasi masing-masing pada tahap keyakinan sembilan puluh lima peratus dan sembilan puluh sembilan peratus. Keputusan analisa faktor penyederhana pakar industri menunjukkan kesan mempengaruhi hubungan antara jenis perniagaan dan kualiti pelaporan kewangan tahunan koperasi pada tahap keyakinan sembilan puluh lima peratus. Manakala faktor penyederhana pakar industri tidak menunjukkan kesan terhadap hubungan saiz koperasi dan kualiti pelaporan kewangan tahunan koperasi. Justeru dapat disimpulkan bahawa ciri-ciri koperasi dan pakar industry merupakan elemen penting yang memberi pengaruh ke atas kualiti pelaporan kewangan tahunan koperasi di Malaysia.