PEMAHAMAN AYAT BERUNSUR HADHF AL-KALIMAH DI DALAM SURAH YASIN DALAM KALANGAN GURU TAKMIR DI SELANGOR
Keywords:
Pemahaman Guru Takmir, Hadhf al-Kalimah, Surah YasinAbstract
Perintah mentadabbur dalam al-Quran jelas mencakupi segala hal berkaitan al-Quran baik pada susunan bahasanya mahupun kandungannya, petunjuk-petunjuk mahupun mukjizatnya. Bahasa yang dipilih oleh Allah SWT dalam menyampaikan wahyu adalah bahasa Arab yang mempunyai ciri-ciri tersendiri dalam pembentukan sesuatu ayat, iaitu merujuk kepada aspek tatabahasa, retorika dan semantik. Ciri istimewa yang terdapat dalam bahasa Arab ialah elipsis atau al-Hadhf atau diterjemahkan dalam bahasa Melayu mudah sebagai elipsis atau pengguguran. Jika diteliti pada kitab-kitab bahasa, perbincangan tentang elipsis (al-Hadhf) termasuk dalam bidang retorik Arab atau disebut al-Balaghah al-‘Arabiyyah. Kajian ini bertujuan meneroka kefahaman guru-guru takmir di Selangor terhadap ayat-ayat berunsur Hadhf al-Kalimah yang terdapat di dalam surah Yasin. Di harapkan hasil kajian ini dapat memberikan kefahaman yang mendalam kepada masyarakat terhadap ayat-ayat Hadhf al-Kalimah yang terdapat di dalam al-Quran.