HUBUNGAN LEMBU DENGAN DEWA DALAM HINDU: KAJIAN TERHADAP MAHASISWA UNIVERSITI
Keywords:
Lembu, Dewa, Kamadhenu, Gomatha, Mahasiswa UniversitiAbstract
Penyucian lembu dalam agama Hindu bertitik tolak daripada kepercayaan penganutnya terhadap kedudukan lembu yang menyamai taraf dewa. Dalam kerencaman kehidupan beragama, aktiviti penyembelihan lembu oleh penganut agama lain boleh menyebabkan konflik wujud. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kepercayaan masyarakat Hindu terhadap hubungan lembu dengan dewa dari perspektif mahasiswa universiti di Selangor. Kajian dilakukan secara kualitatif menggunakan pendekatan temubual separa berstruktur. Seramai 10 orang mahasiswa terlibat sebagai informan kajian. Data temubual telah dianalisis menggunakan pendekatan tematik. Hasil kajian menunjukkan kepercayaan informan terhadap kedudukan lembu sebagai dewa adalah sejajar dengan teks Hindu yang menekankan konsep Kamadhenu dan Gomatha yang merujuk kepada lembu sebagai ibu yang banyak memberi manfaat kepada alam dan memenuhi keperluan manusia. Hal ini dimanifestasikan menerusi pengagungan lembu seperti yang digambarkan dalam simbol Kamadhenu iaitu lembu putih yang menempatkan 33 esensi dewa-dewa Hindu yang jelas menunjukkan kesucian lembu. Manifestasi kesucian lembu juga dapat dilihat apabila ianya menjadi haiwan kesayangan dewa Shiva dan Krishna. Tuntasnya, masyarakat Hindu percaya lembu merupakan haiwan yang suci yang harus dihormati dan disanjungi seperti dewa sehingga menyebabkan membunuh dan memakannya adalah dilarang dalam kalangan penganut Hindu.