PENDEDAHAN KRITIS TENTANG TEKS AL-FUTUHAT AL-ILAHIYYAH OLEH AL- ‘UJJAILY, S. DALAM TEKS TAFSIR NUR AL-IHSAN: SATU KAJIAN
Keywords:
Tafsir Nur Al-Ihsan, Al-Futuhat Al-Ilahiyyah, Pendekatan Genetik, Sumber RujukanAbstract
Umar, M. S. telah menulis karya berjudul Tafsir Nur al-Ihsan yang merupakan sebuah karya dalam bidang tafsir al-Quran. Untuk mendalami dan memahami ayat-ayat al-Quran, masyarakat telah menggunakan karya ini sebagai rujukan mereka. Namun, beberapa sarjana telah mengkritik karya Tafsir Nur al-Ihsan ini kerana mereka beranggapan bahawa Umar, M. S. semata-mata menggunakan pandangannya sendiri ketika mentafsirkan al-Quran. Hal seperti ini menyebabkan masyarakat menjadi keliru dengan kesahihan tafsiran yang dibuat olehnya. Oleh itu, objektif utama penyelidikan ini tertumpu kepada mengkaji dan mengesan sumber-sumber rujukan yang berasaskan daripada karya al-Futuhat al-Ilahiyyah oleh al-‘Ujjaily, S. yang digunakan oleh Umar, M. S. dalam Tafsir Nur al-Ihsan, di samping mendedahkan bagaimana rujukan tersebut diolah. Pendekatan genetik yang diperkenalkan oleh Goldman digunakan ketika kajian ini dijalankan. Menerusi pendekatan ini, semua sumber rujukan yang pengarang gunakan daripada karya al-Futuhat al-Ilahiyyah oleh al-‘Ujjaily, S. tersebut didedahkan. Kajian memperlihatkan bahawa pengarang Tafsir Nur al-Ihsan mengambil lima pendekatan ketika mengolah teks dari karya yang beliau rujuk itu iaitu; teks dinukil secara tepat dan selari, pengarang menukil teks secara abstrak daripada karya tersebut, pengarang menghilangkan beberapa perkataan dari teks yang dirujuk sebelum dimuatkan dalam Tafsir Nur al-Ihsan, pengarang menambah huraian dan penjelasan terhadap teks yang dinukil dan pengarang menukar maklumat teks yang dipindahkan. Pengkaji mendedahkan bahawa Umar, M. S. merujuk karya al-Futuhat al-Ilahiyyah ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan bertujuan mengukuhkan karyanya. Oleh itu, beliau berjaya berbuat demikian disebabkan teks yang dirujuk bertepatan dengan teks dalam karyanya. Namun, terdapat juga teks yang bertentangan dengan teks rujukan. Pada bahagian ini, tafsiran yang pengarang lakukan menjadi lemah.