INDEKS KEPUASAN PELAJAR DARI KONSTRUK KESELAMATAN, KEMUDAHAN DAN KESELESAAN TERHADAP PERKHIDMATAN BAS DALAM KAMPUS UNIVERSITI DAN APLIKASI E-PENJEJAK
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji kadar kepuasan pelajar terhadap pengangkutan bas di dalam kampus universiti dan saranan pembangunan aplikasi e-Penjejak. Kedua-dua aspek ini mempunyai kaitan dengan dua aktiviti penting melibatkan pengurusan masa pelajar yang berkaitan dengan kehadiran ke kuliah dan aktiviti kokurikulum. Sehingga kini, majoriti kehadiran mereka ke tempat berkenaan telah disokong oleh satu sistem pengangkutan bas sedia ada. Namun terdapat beberapa isu berkaitan dengan sistem pengangkutan ini seperti kelewatan, keselamatan, kekurangan kemudahan dan keselesaan. Secara tidak langsung ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan pelajar. Tambahan pula pengangkutan bas bagi mereka adalah suatu perkara yang penting dan ia memberi impak terhadap prestasi akademik dan aktiviti kokurikulum. Kelewatan atau ketidakkehadiran dalam dua aktiviti tersebut dalam tempoh tertentu boleh menyumbang kepada kemerosotan prestasi pelajar. Maka, kajian ini dilakukan bagi mengetahui apakah perspektif pelajar terhadap dua aspek tersebut. Kajian ini dijalankan secara kaedah kuantitatif bagi mengetahui mengenai kepuasan pelajar berdasarkan tiga konstruk iaitu keselamatan, kemudahan dan keselesaan. Sejumlah 500 pelajar peringkat sarjana muda telah menjawab soal selidik melalui borang Google yang dihantar melalui e-mel dan aplikasi Whatsapp. Data kajian dianalisis dengan menggunakan perisian Microsoft Excel dan SPSS dan hasilnya diterjemahkan dengan indeks kepuasan pelajar yang bernilai dari sifar sehingga satu. Hasil keputusan kajian menunjukkan pelajar mempunyai tahap kepuasan yang rendah terhadap ketiga-tiga konstruk dengan nilai 0.46 bagi keselamatan, 0.53 bagi kemudahan dan 0.51 bagi keselesaan. Sementara itu, pelajar amat bersetuju jika aplikasi e-Penjejak dapat dibangunkan sebagai satu langkah penambahbaikan terhadap pengangkutan bas di dalam kampus. Adalah diharapkan aplikasi tersebut dapat membantu pelajar menguruskan masa dengan lebih efektif dan seterusnya memberikan impak kepada prestasi akademik mereka.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Ezanee Mohamed Elias, Azman Ta’a, Muhamad Shahbani Abu Bakar, Hussein Mohammed Esmail Abu Al-Rejal, Norlila Mahidin, & Azizi Hashim. (2024). INDEKS KEPUASAN PELAJAR DARI KONSTRUK KESELAMATAN, KEMUDAHAN DAN KESELESAAN TERHADAP PERKHIDMATAN BAS DALAM KAMPUS UNIVERSITI DAN APLIKASI E-PENJEJAK. JOURNAL INFORMATION AND TECHNOLOGY MANAGEMENT (JISTM), 7(25). Retrieved from https://gaexcellence.com/jistm/article/view/2632
Issue
Section
Articles