PENILAIAN PENGALAMAN PENGGUNA APLIKASI KESIHATAN MUDAH ALIH : KAJIAN KES DI PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS
Abstract
Penduduk warga emas di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak 6.6% daripada jumlah keseluruhan penduduk dan anggaran jumlah pada tahun 2025 meningkat kepada 13.4%. Angka ini akan terus meningkat sebanyak 20.8% menjelang 2050. Peningkatan ini memerlukan warga emas untuk menjadi lebih sihat bagi menghadapi alaf baharu. Perkembangan maklumat dan teknologi berpotensi meningkatkan kualiti hidup warga emas. Terdapat pelbagai teknologi yang boleh digunakan untuk warga emas seperti teknologi berasaskan kesihatan. Mengenal pasti komponen pengalaman pengguna (UX) dan keberkesanan aplikasi berasaskan kesihatan warga emas, adalah penting untuk mengkaji kesan penuaan yang sihat. Kajian ini dijalankan untuk menyelesaikan persoalan dan objektif dalam kepentingan pengalaman pengguna (UX) bagi warga emas serta mengenal pasti keberkesanan pada aplikasi berasaskan kesihatan. Jurang penyelidikan yang perlu dikaji adalah penambahbaikan garis panduan bagi penyediaan aplikasi kesihatan untuk kepentingan pengalaman pengguna (UX). Kaedah kajian kes digunakan dalam penerokaan penggunaan aplikasi kesihatan yang dibangunkan iaitu WESIHAT3.0. WESIHAT3.0 adalah sebuah prototaip mudah alih yang dibangunkan berdasarkan panduan pendidikan dan pemakanan sihat warga emas. Kaedah kajian yang digunakan adalah kaedah kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi diari pengguna, soal selidik dan temu bual. Soalan pengalaman pengguna (UEQ) digunakan untuk mendapatkan maklum balas daripada komponen pengalaman pengguna dan kaedah temu bual berfokus telah dijalankan mengikut kes kajian. Responden telah dipilih daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Bandar Tun Razak melalui teknik pensampelan bertujuan. Hasil kajian mendapati skala komponen pengalaman pengguna pada prototaip WESIHAT3.0 mempunyai nilai daya tarikan (1.73), kualiti pragmatik (1.48), dan kualiti hedonik (1.24). Penambahbaikan pada prototaip WESIHAT3.0 telah dikenal pasti seperti memperbanyakkan maklumat mengenai kalori dan pemakanan mengikut tahap umur. Kesimpulannya, adalah penting untuk membangunkan teknologi baharu yang dapat membantu warga emas dalam penuaan sihat, serta memastikan teknologi ini menyumbang secara positif kepada era digital.Downloads
Download data is not yet available.
Downloads
Published
2024-09-24
How to Cite
Nazlena Mohamad Ali, Mohamad Hidir Mhd Salim, Dwi Fiqri Qurniawan, Muhammad ‘Aqil Abd Rahman, & Shaharizal Othman. (2024). PENILAIAN PENGALAMAN PENGGUNA APLIKASI KESIHATAN MUDAH ALIH : KAJIAN KES DI PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS. JOURNAL INFORMATION AND TECHNOLOGY MANAGEMENT (JISTM), 9(34). Retrieved from https://gaexcellence.com/jistm/article/view/2751
Issue
Section
Articles